Monday, March 2, 2015

Soalan dan Skema Jawapan Ujian 1 (2-5 Mac 2015)











Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian  buat satu rumusan  tentang cara-cara remaja menjalani gaya hidup sihat dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi  120 patah  perkataan.

            Memetik kata-kata isteri presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama,”Tiada yang lebih penting daripada kesihatan dan membesarkan anak-anak secara sihat,” kesihatan amatlah penting untuk  generasi muda terutamanya remaja. Namun begitu, masalah kesihatan seperti obesiti, dan diabetes dalam kalangan remaja hari ini bukan jenaka tetapi merupakan  realiti kehidupan.
            Kesihatan merupakan aset terpenting seseorang remaja. Seorang remaja yang sihat bukan sekadar bebas daripada penyakit tetapi sihat dari aspek fizikal, mental, emosi dan spiritualnya. Kunci penting dalam kesihatan adalah dengan mengetahui, melakukannya dan menyeimbangkan. Kaedah yang paling mudah bagi remaja untuk menjalani gaya hidup sihat adalah dengan mencari info tentang kesihatan dengan melayari laman sesawang, membaca buku dan bertanya dengan pakar kesihatan. Antara laman sesawang yang boleh dirujuk oleh remaja adalah  melalui laman info sihat yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.   Remaja juga boleh bertanya sendiri hal kesihatan dengan pakar dalam bidang ini. Tindakan bertanya amat digalakkan  sebelum remaja mencuba sendiri menjalani kehidupan sihat. Kes-kes menakutkan tentang remaja  cuba berdiet dengan tidak seimbang kerana khuatir dengan masalah obesiti sering kali  berlaku kerana tiadanya bimbingan serta rujukan daripada pakar kesihatan. 

            Kunci seterusnya untuk hidup secara sihat adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat. Remaja memerlukan  lebih kandungan protein, kabohidrat, vitamin dan lemak dalam badan. Seterusnya, remaja perlu menekankan aspek penjagaan kebersihan diri. Hal ini bukan sahaja penting bagi memastikan badan remaja tidak berbau dan  disenangi oleh orang lain, malahan bagi memastikan remaja tidak terdedah dengan sebarang punca penyakit, seperti bakteria bahaya, kutu dan kulat.  Remaja perlu melakukan aktiviti bersenam untuk menjaga kesihatan. Jika minat menari, boleh juga menggunakan tarian sebagai  salah satu  senaman. Selain dapat mengisi masa lapang serta hidup dengan lebih sihat, remaja berpeluang mengasah bakat seni dalam diri remaja. Semuanya bermula dengan langkah pertama untuk mencuba.

            Aktiviti sihat tidak hanya berfokus kepada senaman untuk fizikal semata-mata. Otak juga perlu menjalani kehidupan yang sihat. Sehubungan dengan itu, remaja perlu menghindarkan diri daripada sebarang aktiviti negatif, seperti menagih dadah dan merokok, dapat membantu  remaja menjadi lebih cerdas. Tentu seronok jika otak dapat berfungsi dengan sepenuhnya apabila badan remaja  bersih daripada sebarang pencemaran. Aktiviti lain yang perlu dilakukan oleh remaja untuk hidup lebih sihat ialah masa rehat yang cukup. Waktu rehat yang secukupnya dapat membantu  remaja  merehatkan badan selepas seharian melakukan pelbagai aktiviti. Dalam menjalani kehidupan yang sihat, keseimbangan dalam hidup adalah sangat penting. Pengambilan makanan seimbang mengikut piramid makanan merupakan satu cara yang perlu diikuti oleh remaja bagi memastikan remaja terhindar daripada  sebarang penyakit. 

            Pendek kata, cara hidup sihat bukan sahaja  dapat membantu remaja berfikir dengan lebih matang, tetapi dapat memberikan keyakinan diri dan daya kreativiti akan semakin bertambah.
                     ( Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Remaja Prihatin Remaja Sihat,”
Dewan Siswa, September, 2011)
Soalan  2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan  yang berikut  dengan menggunakan ayat anda 
sendiri.

i.              Apakah  maksud  rangkai kata bukan jenaka?
                                                                                                                              [2 markah]

ii.             Mengapakah remaja perlu menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan diri?
                                                                                                                              [3 markah]


iii.            Pada pendapat anda, mengapakah remaja pada hari ini gemar mengambil
      makanan segera?
                                                                                                                             [4  markah]
 

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa 
 [30 markah] 
 Jawab semua soalan.







SKEMA JAWAPAN UJIAN 1
BAHASA MELAYU 2015
 Soalan 1
Markah penuh 30 dibahagi kepada:

(a) Isi - 20 markah
(b) Bahasa - 10 markah

(a) Isi [20 markah]
Nota:
(i) Panduan mengira perkataan

Perkataan yang dikira sebagai satu perkataan:
 nama khas
 perkataan berulang
 penggunaan kata sendi di dan ke
 tarikh
 angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan
 gelaran

(ii) Kira dan tandakan jawapan calon setakat 120 patah perkataan sahaja sebelum diperiksa.

(iii) Periksa jawapan calon setakat 120 patah perkataan sahaja. Yang selebihnya tidak perlu  
      diperiksa.

(iv) Berikan markah bagi setiap isi yang tepat dan lengkap sahaja.



                                                                                   
Pendahuluan/Pengenalan                                                                            Markah
Petikan  menerangkan langkah-langkah/usaha-usaha remaja menjalani                            
gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.                                                                   2

Petikan  menerangkan langkah-langkah/usaha-usaha remaja menjalani                            
gaya hidup sihat                                                                                                               1

Petikan  menerangkan cara-cara  remaja menjalani gaya hidup sihat                            0

Isi Tersurat

S1.       mencari info tentang kesihatan      2 m
S2.       remaja juga boleh bertanya sendiri hal kesihatan dengan pakar  dalam bidang ini.  2 m
S3.       mengambil makanan yang berkhasiat      2 m                                   
S4.       Perlu menekankan aspek penjagaan kebersihan diri     2 m                     
S5 .      remaja perlu melakukan aktiviti bersenam untuk menjaga kesihatan       2 m                     
S6.       remaja perlu menghindarkan diri daripada sebarang aktiviti negatif     2 m                                 
 S7        masa rehat yang cukup.        2 m           
S8        pengambilan makanan seimbang mengikut piramid makanan   2 m                                                                                                                                                                
Isi Tersirat:

T1.  Remaja berfikiran positif    2 m 
T2.  Remaja lebih sihat      2 m
T3.  Remaja lebih cemerlang      2 m                                                                                        
 T4  .Remaja mempunyai lebih kesedaran tentang kesihatan diri  2 m     
Penutup:
Kesimpulannya, remaja seharusnya mengambil langkah bijak mengamalkan         2
gaya hidup sihat setiap hari demi memastikan kesihatan mereka senantiasa
berada pada tahap yang baik.

Soalan 2(a ): Petikan Umum                                                                                                                                                                                                      
i.              Maksud  rangkai kata bukan jenaka adalah
-       tidak lucu/kelakar                                                                Maksimum 2 markah

ii.             Remaja perlu menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan diri untuk

-       memastikan badan remaja tidak berbau                                                  1
-       disenangi oleh orang lain                                                                          1
-       memastikan remaja tidak terdedah dengan sebarang punca
penyakit, seperti bakteria bahaya, kutu dan kulat.                                   1
.
                                                                                                                Maksimum 3 markah

iii.            Pada pendapat saya,  remaja gemar mengambil makanan segera kerana:

-       mudah                                                                                                       1
-       gaya hidup sekarang                                                                                1
-       pengaruh media massa/iklan/rakan sebaya                                             1
-       kesibukan ibu bapa                                                                                   1
-       isu pengurusan masa                                                                                1

                                                                                                    Maksimum 4  markah
3a.      
  (i) balas (hal surat) 
      Surat yang dikirim oleh sahabat saya belum sempat saya balas.                              
  (ii) balasan( hukuman) - 
       Perbuatan jahat ke atas orang lain akan mendapat balasan yang setimpal. 
 (iii) berbalas(serang-menyerang) - 
       Anggota polis berbalas tembakan dengan  segerombolan perompak  bersenjata api di 
       sebuah bank di pekan itu. 
 (iv) membalas( hal mempertahankan diri) - 
       Penduduk telah membalas serangan udara yang dilakukan oleh tentera penjajah.  
 (v) pembalasan(hal hukuman)   -
      Dia telah menerima pembalasan daripada perbuatannya menderhaka kepada ibunya.  
(vi) balas-membalas - Mereka balas-membalas pantun semasa majlis merisik itu                     berlangsung.
                                                                                                                      (6 markah)

3b.       Subjek dan prediket.

(i)         Pegawai yang baru dilantik itu(S)  akan mula bertugas esok(P) 
(ii)        Pelajar-pelajar itu(S) sangat berdisiplin(P) 
(iii)       Sasterwaan Negara Datuk A Samad Said(S) ke Pasar Seni(P) 
(iv)       Setiap orang(S) mengharapkan kebahagiaan hidup(P)   
(v)        Penonton perlawanan bola sepak itu(S) sudah pulang(P)  
(vi)       Permainan wau (S) sangat masyur di negeri Kelantan(P)               (6 markah)

(c)        kesalahan ejaan dan kesalahan penggunaan imbuhan.
            (i)         mempastikan - memastikan, kaki tangannya - kakitangannya
           (ii)         matapelajaran - mata pelajaran , mendapat - dapat
           (iii)         anti karat - antikarat, punyai - mempunyai                                (6 markah)

 (d)       kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa.
            (i)         dibangunkan (dibina),  di (ke)                                                                    
           (ii)          mencengkam (menggengam), dia terima (diterimanya) 
          (iii)          Sejumlah(sebahagian)  kontraktor-kontraktor(kontraktor)       (6 markah)

(e)        Isikan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
            (i) melentur buluh biarlah dari rebung 
            (ii)bagai aur dengan tebing                                                                                                    (iii) bumi yang mana tidak ditimpa hujan.

SKEMA SOALAN 4
( 4a) Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan perwatakan watak utama dalam novel tersebut.  [7 markah]
Isi Cukup 2 x 2 = 4  
 Bahasa              = 3        
 Jumlah                7     
 
(a)    Novel  Melunas Rindu – watak utama Fuad/Joshua/Abdul Halim.
1.      Berusia 27 tahun, seorang yang tinggi, segak, berwajah Melayu, berpendidikan tinggi, memiliki Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Amerika syarikat dan belum berkahwin.

2.      Seorang yang penyayang
Contohnya, Fuad sayang akan ibu kandungnya, Mariana dan berusaha mencari pusara ibu kandungnya yang disangka telah meninggal dunia.

3.      Seorang yang bertanggungjawab
Contohnya, sikap bertanggungjawab dalam memastikan anak muridnya berjaya dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

4.      Seorang yang baik hati.
Contohnya, Fuad membantu Borhan membawa anaknya yang sakit ke klinik.  Fuad juga sanggup menanggung belanja persekolahan adik-adik sepupunya iaitu Mei Lin, Ah Soh dan Guan.

5.      Seorang yang taat kepada perintah agama
Contohnya, dia tidak meninggalkan solat, selalu solat berjemaah di surau atau di masjid.


(b)  Novel Kabus Di Perbukitan – watak utama Faridah
1.      Berusia awal 20-an pada permulaan cerita dan berusia dalam lingkungan 50-an pada penghujung cerita, berperawakan menarik, mempunyai lesung pipit, mempunyai saudara kembar bernama Rahayu, sudah berkahwin, suami pertamanya bernama  Ghazali, berkahwin dengan Soleh Johnsons (selepas suami pertamanya meninggal) dan menetap di New Zealand selama 25 tahun.  Faridah mempunyai anak kembar bernama Melina dan Anne.

2.      Seorang yang tabah..
Contohnya, dia tabah menghadapi kematian adik kembarnya, Rahayu akibat barah paru-paru.  Selepas itu, dia juga kehilangan ibu kesayangannya dan suami pertamanya, Ghazali.

3.      Seorang yang  prihatin.
Contohnya, sikap prihatinnya terhadap Iqbal, seorang kanak-kanak Sindrom Down dan menganggap khidmat baktinya terhadap kanak-kanak istimewa sebagai satu ibadah.

4.      Seorang yang beriman.
Contohnya, dia bersolat Tahajud selepas mengalami mimpi Rahayu dan ibunya.  Dia yakin akan berasa tenang selepas menunaikan solat sunat Tahajud.

5.      Seorang yang mementingkan ilmu pengetahuan.
Contohnya, dia sanggup menggadaikan tanahnya untuk perbelanjaannya semasa berkursus di New Zealand.

Lain-lain perwatakan watak utama yang sesuai boleh diterima
(b) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, huraikan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel  tersebut?                        [8 markah]
Isi Cukup 3 x 2 = 6    
 Bahasa              = 2   
 Jumlah                8      
Novel Melunas Rindu
       Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat  ialah Novel Melunas Rindu.
       Pengajaran pertama ialah kita hendaklah patuh pada perintah Tuhan.  Sebagai contoh Fuad ke surau untuk solat berjemaah dan mengaji al-Quran dengan Pak Ismail.
       Pengajaran kedua ialah kita tidak boleh memutuskan hubungan kekeluargaan.  Sebagai contoh, Fuad pergi ke rumah bapa saudaranya yang berlainan agama, iaitu Peter Lim dan berjanji menanggung belanja persekolahan anak-anaknya, iaitu Ah Soh dan Mei Lin.
       Pengajaran seterusnya ialah kita mesti menerima takdir yang telah ditentukan. Sebagai contohnya, Fuad dan Farhana mula dapat menerima realiti bahawa mereka ialah adik-beradik dalam tempoh yang agak singkat.
Novel Kabus Di Perbukitan
       Novel yang saya kaji dalam tingkatan lima ialah Novel Kabus di Perbukitan.
      Pengajaran pertama ialah  kita hendaklah menerima ketentuan takdir dengan hati terbuka. Sebagai contoh, Azrul dapat menerima takdir kematian  Rahayu yang menghidap penyakit kanser.
       Pengajaran kedua ialah kita hendaklah berhati-hati memilih kawan.  Sebagai contoh,  Benny berkawan dengan Mohamed Attar terpaksa menyembunyikan diri kerana kawannya itu terlibat dalam aktiviti keganasan.
       Pengajaran seterusnya ialah sebagai penganut agama yang taat, kita hendaklah mematuhi ajaran dan tuntutan agama.  Sebagai contohnya, Soleh menunaikan sembahyang di masjid pada setiap hari dan selalu menderma kepada badan kebajikan.
Lain-lain pengajaran yang sesuai boleh diterima.

No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...